Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus mengekalkan kestabilan politik, perpaduan serta sokongan padu kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan masa depan negeri terus terpelihara.
Beliau merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT serta berterima kasih kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 yang baru selesai.
Katanya, mandat tersebut membuktikan rakyat memilih kestabilan, kematangan politik serta sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas untuk membawa Sabah ke arah kemajuan dan kejayaan berterusan.
“GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah diberikan amanah oleh rakyat untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan Sabah. Keputusan ini bukan sekadar kemenangan politik, tetapi satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah menginginkan kesinambungan dasar, pentadbiran yang stabil serta kepimpinan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya dalam ucapan tahun baharu 2026.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, tahun 2026 merupakan permulaan fasa penting dalam pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030).
Menurutnya, agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 akan terus memperkukuh tiga teras utama pembangunan negeri iaitu sektor pertumbuhan ekonomi yang menjana hasil negeri merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta usaha memperluas jaringan infrastruktur yang lebih baik, mampan dan berteraskan kelestarian hijau.
Selaras dengan itu, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan memberi fokus kepada pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi.
“Penekanan akan diberikan kepada pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan agar golongan belia bukan sekadar penerima peluang, tetapi pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkasa Sabah sebagai sebuah Negeri Sukan akan diteruskan secara holistik merangkumi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya dan sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Tambahnya, kementerian juga akan mempergiat pemerkasaan industri ekonomi kreatif melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan khususnya dalam sektor kreatif dan digital supaya menjadi antara pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing untuk Sabah.
Pada masa sama katanya, Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip.
“Hubungan yang baik dan akrab antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah SMJ dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Sabah serta usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan melantiknya sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah dan menegaskan komitmen untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri memberi manfaat kepada rakyat.
Menjelang tahun baharu, Nizam menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama padu kepada Kerajaan Negeri kerana kejayaan membina Sabah yang lebih maju dan berjaya merupakan usaha bersama antara kepimpinan dan rakyat.
“Semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan yang berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.
































