Hajiji (ketiga dari kiri) menerima replika cek daripada Pengarah Eksekutif Huluan SMJ Energy, Datuk Albert Lo.
KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didapati gagal menunjukkan prestasi selama lima tahun berturut-turut akan diletakkan di bawah semakan dan berdepan kemungkinan diarahkan untuk ditutup, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Ketua Menteri berkata, mana-mana GLC yang gagal merekodkan keuntungan selama lima tahun berturut-turut akan diteliti oleh Jawatankuasa Pemantauan dan Penasihat Syarikat Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun (JPP-KKNS).
“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC berkenaan tidak menunjukkan sebarang prospek pemulihan,” katanya pada Majlis Penyampaian Dividen dan Sumbangan GLC serta badan berkanun di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, setiap badan berkanun dan GLC bertanggungjawab mematuhi kadar minimum pembayaran dividen sedia ada iaitu 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai.
“Ini merupakan keperluan yang telah lama ditetapkan dan saya mengharapkan semua GLC menunjukkan disiplin kewangan serta komitmen penuh dalam menunaikan tanggungjawab ini.
“Selain itu, bermula tahun hadapan, saya juga mahu melihat peningkatan tahap sumbangan tahunan daripada GLC, sekitar RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada keupayaan dan prestasi syarikat,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan rombakan terhadap pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC bagi memperkukuh tadbir urus korporat dan akauntabiliti, selain menyuntik kepimpinan baharu ke dalam syarikat-syarikat berkenaan.
“Kerajaan Negeri menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu dilaksanakan bagi memastikan transformasi yang berkesan dan mampan,” katanya.
“Ke hadapan, kita mahu meningkatkan prestasi GLC selaras dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0. Objektif utama kita ialah menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang cekap dan dipercayai melalui pengurusan berwibawa bagi menjana pendapatan dan nilai yang lebih tinggi untuk rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau turut mengulangi bahawa bermula tahun hadapan, semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis secara suku tahunan terus kepadanya.
“Laporan itu mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), serta tahap kecekapan operasi. Mana-mana pihak yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk kemungkinan diganti atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya.
Berdasarkan laporan semasa, beliau berkata prestasi keseluruhan GLC masih berada pada tahap sederhana, dengan jumlah dividen dan sumbangan yang dibayar kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM131.6 juta berbanding rekod tertinggi pada 2022 sebanyak RM156.31 juta.
“Walaupun angka ini menunjukkan sumbangan masih positif, saya percaya potensi sebenar agensi milik kerajaan adalah jauh lebih besar daripada apa yang telah dicapai setakat ini,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri menuntut tahap integriti kewangan yang tinggi, pelaksanaan yang telus serta akauntabiliti.
“Bagi mencapai matlamat ini, saya mahu semua ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi bekerjasama sebagai satu pasukan yang padu dalam membuat keputusan dan perancangan strategik.
“Saya yakin dengan hala tuju perniagaan yang dikemas kini, tadbir urus korporat yang berdisiplin serta kerjasama erat antara lembaga dan pengurusan, semua agensi akan mampu melangkah lebih jauh, meningkatkan pulangan kepada Kerajaan Negeri dan akhirnya memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Hajiji menekankan kepentingan memiliki pasukan kepimpinan yang dinamik, profesional dan berorientasikan hasil bagi mengharungi era baharu yang dipacu oleh pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu dan pembangunan sosial.
“Langkah yang diambil ini bukan sekadar pertukaran kepimpinan, tetapi satu usaha menyeluruh untuk memastikan GLC lebih berdaya saing dan bersedia memimpin agenda pembangunan baharu Sabah,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya Sabah meneroka bidang strategik baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, teknologi data dan sektor lain yang relevan dengan pertumbuhan global.
Ketua Menteri turut mengalu-alukan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar setiap agensi melantik Pegawai Integriti Bertauliah atau menubuhkan Unit Integriti sebagai mekanisme pemantauan dalaman.
“Ini akan memastikan budaya kerja yang lebih bersih, telus dan bertanggungjawab dalam keseluruhan organisasi,” katanya.
Dalam majlis itu, Ketua Menteri menerima replika cek daripada pelbagai GLC dan badan berkanun berjumlah RM131.6 juta, dengan sumbangan terbesar daripada SMJ Energy Sdn Bhd yang membayar dividen sebanyak RM50 juta serta sumbangan RM1 juta kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.
































