Nizam Abu Bakar Tiitngan
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE) akan menggunakan peruntukan RM98.06 juta pada 2026 untuk memajukan anak muda Sabah dalam pelbagai bidang.
Menterinya, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada jumlah itu, RM88.01 juta diperuntukkan bagi Perbekalan manakala RM10.05 juta untuk Pembangunan, yang akan membiayai pelbagai aktiviti kementerian.
“Selaras dengan Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semasa PRN lalu, kementerian akan menyediakan program padanan bagi memastikan semua janji manifesto ditunaikan,” katanya.
Beliau menghargai usaha Ketua Menteri memajukan belia Sabah dengan menambah baik kementerian kepada MYSpaCE atau MYSpace. Berdasarkan data Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) 2024, terdapat kira-kira dua juta belia berumur 15 hingga 40 tahun, iaitu hampir 60 peratus penduduk Sabah.
Justeru, pada 2026, MYSpaCE akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama: Pembudayaan Belia Proaktif dan Efektif, Menjadikan Sabah Negeri Sukan, serta Meningkatkan Kebolehpasaran dan Industri Ekonomi Kreatif.
“Kita ingin belia mencipta peluang, berinovasi, mengambil risiko, dan bekerjasama. Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) akan menyokong inisiatif ini,” katanya.
Bagi menjadikan Sabah Negeri Sukan, Nizam berkata, kementerian akan memanfaatkan bakat atlet tempatan termasuk atlet berprestasi tinggi dan kurang upaya.
“Kementerian memberi penghargaan kepada Sabah FC yang mara ke final Piala FA selepas 27 tahun, dengan insentif RM100,000. Atlet lompat jauh, Andre Anuar dari Tenom, meraih Pingat Emas Sukan SEA Thailand 2025, menamatkan penantian panjang negara dalam acara ini. Kita juga bersiap menghadapi SUKMA dan Para SUKMA 2026, sambil menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan massa. Fasiliti sukan juga akan dibangunkan dan dinaik taraf,” katanya.
Berkenaan industri ekonomi kreatif, Nizam berkata, ia boleh meningkatkan daya saing dan pendapatan jika diurus dengan baik. Kementerian akan menyediakan program Creative Skills Upskilling untuk penggiat industri ini.
Beliau yang juga ADUN Apas berkata demikian ketika menggulung untuk kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau turut menjawab beberapa cadangan dan pertanyaan Ahli Yang Berhormat.
Salah satu isu ialah pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang masih belum siap. Nizam berkata, kontraktor terdahulu telah ditamatkan pada 3 September 2025 kerana gagal menyiapkan projek.
“Kementerian sedang menyediakan dokumentasi bagi melantik kontraktor baharu. Saya akan pastikan kompleks ini siap mengikut jadual,” katanya.
Beliau menyambut baik cadangan menambah peruntukan MYSpaCE memandangkan belia membentuk kira-kira 60 peratus populasi Sabah.
“Kementerian akan terus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, dan Kementerian Kewangan dijangka mempertimbang permohonan peruntukan tambahan untuk agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif,” katanya.
Mengenai fasiliti sukan di Kompleks Sukan Likas yang kurang memuaskan, Nizam berkata, kerosakan adalah lumrah kerana fasiliti digunakan ramai.
“Kementerian akan membaik pulih dan menyelenggara semua kompleks sukan di Sabah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan cadangan projek masa depan termasuk Pusat Belia di Tanjong Keramat, mini stadium dan padang komuniti di DUN Sungai Manila serta kompleks sukan di Pulau Banggi.
“Kementerian akan menilai kebolehlaksanaan projek ini dengan prinsip satu kompleks sukan bagi setiap daerah,” katanya.
Bagi cadangan pembinaan litar permotoran di Keningau dan Kg Laya-laya, Tuaran, Nizam berkata, kementerian merancang membina litar sukan permotoran dan sedang mengkaji tapak sesuai.
Beliau menekankan Belanjawan Sabah 2026 mengiktiraf kejayaan atlet di SUKMA, SOPMA dan Malaysia Deaf Sports Games (MDSG), sambil menitikberatkan kebajikan dan peluang selepas bersara.
“Kerajaan menyediakan insentif kemenangan, tambahan 50 peratus insentif persekutuan, caruman KWSP, bantuan keusahawanan melalui Dana Belia SYABAS, peluang pekerjaan, laluan khas ke IPTA/IPTS, dan keutamaan pekerjaan di agensi negeri,” katanya.
Kerajaan Negeri juga memperkasa institusi sukan komuniti melalui Bantuan Geran Khas KBSK, Geran Persatuan Sukan Negeri RM5 juta, Pusat Latihan Negeri di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah, bantuan peralatan sukan kepada Sekolah Sukan Malaysia Sabah, serta penyertaan atlet di sekolah sukan seluruh Malaysia.
“Kementerian juga merancang melancarkan Tabung Kebajikan Atlet bagi membantu atlet dan bekas atlet Sabah. Pendekatan menyeluruh ini diyakini membina ekosistem sukan mampan, inklusif dan berdaya saing di negeri ini,” katanya.






























