KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi membaiki beberapa fasiliti jeti pelancongan serta kuarters pekerja di pulau-pulau yang dikenal pasti uzur dan tidak selamat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pagi tadi ke tiga lokasi jeti pelancongan utama di sekitar bandar raya, iaitu Jesselton Point, Jeti Taman-Taman Sabah serta South Jetty milik Suria Capital yang kini dalam proses pembinaan dengan anggaran kos RM20 juta.
Menurutnya, beberapa kemudahan di jeti-jeti sedia ada memerlukan kerja penyelenggaraan segera bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelancong yang semakin meningkat ke Sabah.
“Beberapa infrastruktur di jeti memerlukan perhatian segera. Kita mahu pelancong yang datang ke Sabah berasa selamat dan selesa,” katanya.
Dalam lawatan sama, Jafry turut meninjau keadaan Pulau Sulug termasuk kuarters kakitangan Taman-Taman Sabah yang didapati berada dalam keadaan uzur dan rosak.
Beliau memandang serius isu tersebut kerana ia membabitkan kebajikan serta keselamatan kakitangan yang bertugas menjaga kawasan konservasi pelancongan.
“Ini merupakan isu keselamatan, dan saya mahu tindakan segera. Kakitangan yang bertugas di pulau-pulau perlu mempunyai penempatan yang selamat dan kondusif,” tegasnya.
Jafry berkata, perkara berkenaan akan diperincikan bersama kementerian dalam masa terdekat bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan segera, termasuk penyelesaian jangka panjang.
Beliau menegaskan kementerian akan terus memantau dan menambah baik fasiliti pelancongan di seluruh negeri bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama negara.































