Dr. Joachim memasukkan kertas undi ke dalam peti undi pada pagi tadi.
KUNDASANG: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru rakyat Sabah agar mengundi dengan penuh tanggungjawab pada hari penentuan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17, hari ini.
Beliau yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Kundasang berkata, para pengundi diyakini telah membuat pertimbangan terbaik demi masa depan negeri, selepas melalui tempoh kempen yang memperlihatkan peningkatan kesedaran politik dalam kalangan rakyat.
“Yang pertama, kita ucapkan selamat mengundi kepada semua seluruh rakyat Sabah pada hari ini. Saya berharap para pengundi semua sudah berfikir baik-baik, sudah berfikir masak-masak untuk mengundi bagi masa depan negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas beliau dan isterinya, Datin Seri Linda Ewit mengundi di SMK Kundasang, di sini, hari ini.

Dr. Joachim dan Linda bergambar bersama selepas selesai mengundi.
Mereka tiba di pusat pengundian pada jam 8.45 pagi.
Mengulas tahap kesedaran dan sambutan pengundi pagi ini, Dr. Joachim berkata, maklum balas yang diterima sepanjang kempen amat positif dan menggalakkan.
“Kita yakin. Sebab di mana-mana kita jalan, sambutan dia amat menggelakkan. Jadi, kita amat yakin tentang sambutan dan mudah-mudahan GRS menang balik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar keluar awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian serta mematuhi segala arahan petugas SPR demi kelancaran proses pengundian.
































