KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri Persekutuan atas keputusan bersejarah untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa Perdana Menteri memahami sepenuhnya harapan dan aspirasi rakyat Sabah serta mencerminkan komitmen tulen beliau untuk menegakkan apa yang telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menegaskan pendirian Kerajaan Negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haji Hajiji Haji Noor
Hajiji menambah bahawa menghormati keputusan mahkamah merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas serta kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan dan melaksanakan hak 40 peratus itu,” tegasnya.
Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian berkenaan.
Beliau pada masa sama menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan yang adil dan saksama di seluruh negara.
































