Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Penguasaan bahasa kebangsaan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan kerana ia memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat dan membentuk identiti kebangsaan Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memperkukuh usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di Sabah.
Beliau berkata, ini termasuk memperkukuh ekosistem bahasa, kesusasteraan dan penerbitan di negeri ini melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk dalam bidang penerbitan akademik, pembinaan bakat penulisan muda serta penyelidikan bahasa dan dialek tempatan di Sabah.
“Saya berharap sinergi ini akan terus diperkukuh supaya Sabah menjadi antara negeri terkehadapan dalam memupuk budaya ilmu dan kecemerlangan dalam penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
“Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan semula komitmen beliau untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu,” tambahnya.
Hajiji berkata, penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan perlu diteruskan sebagai platform untuk memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan, termasuk program ini, bukan sahaja untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi penting tetapi juga sebagai bahasa ilmu, budaya dan perpaduan.
“Usaha ini sudah tentu dapat memastikan rakyat pelbagai etnik di negara ini terus menguasai bahasa kebangsaan,” katanya.
Hajiji berharap pelbagai program yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan dapat menyemarakkan semula rasa cinta dan bangga terhadap bahasa rasmi negara; memperkukuh perpaduan melalui aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan; serta menyerlahkan peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai tunjang pembinaan bangsa dan tamadun.
“Saya juga mengalu-alukan penganjuran Karnival Bahasa Jiwa Bangsa yang diadakan sempena kempen Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Sabah sebagai sebahagian daripada sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini.
“Usaha seperti ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu terus subur dan berkembang dalam jiwa rakyat Sabah serta menjadi lambang perpaduan, keintelektualan dan kemajuan melalui bahasa yang menyatukan bangsa.
“Penglibatan pelbagai pihak, daripada pelajar hingga masyarakat umum, amat bertepatan bagi memastikan semangat dan roh Bahasa Jiwa Bangsa dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut berharap agar dengan pelbagai usaha ini, generasi muda akan terus menyayangi bahasa kebangsaan di samping menguasai bahasa lain.
“Saya yakin melalui kerjasama erat antara DBP, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Negeri, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan terus diperkukuh sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
































