Hajiji (duduk, tengah) bergambar bersama peserta Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh dan menambah baik program pembangunan belia di Sabah agar lebih berimpak tinggi serta selaras dengan aspirasi anak muda negeri ini.
Dua inisiatif tersebut — yang akan dilaksanakan bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Majlis Belia Sabah — ialah penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah dan Pemikir Muda Ketua Menteri.
Menurut Hajiji, Majlis Tindakan Belia Sabah akan berfungsi sebagai badan pelaksana yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan belia secara inklusif dan bersepadu di seluruh negeri.
“Inisiatif kedua, Pemikir Muda Ketua Menteri, pula diwujudkan sebagai platform baharu bagi anak muda menyalurkan pandangan, idea serta aspirasi mereka secara langsung kepada kerajaan negeri,” katanya.
“Jadi, anak muda Sabah perlu bersedia untuk menyampaikan apa sahaja pandangan dan cadangan mereka agar dapat dipertimbangkan serta dilaksanakan demi manfaat belia dan rakyat Sabah keseluruhannya,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji bergambar bersama para penerima geran Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (Syabas) pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025.
Mengenai program Tamu Suara 360 itu, Hajiji berkata, ia membuktikan bahawa anak muda Sabah memerlukan lebih banyak ruang dan peluang yang sesuai dengan bakat serta potensi masing-masing.
“Tamu Suara 360 ini bukan sekadar program, tetapi wahana keyakinan bahawa suara belia tidak akan berakhir di sini sahaja. Saya mahu setiap kritikan, cadangan, keresahan dan impian yang dilontarkan sepanjang program ini diangkat menjadi dokumen bernyawa — diperhalusi, diterjemah dan dipertahankan hingga menjadi dasar,” ujarnya.
Hajiji turut berkongsi usaha berterusan kerajaan negeri membantu golongan belia, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan dan pendidikan.
Beliau berkata, sejak empat tahun lalu kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.3 bilion bagi membangunkan modal insan dan pendidikan melalui pelbagai bantuan dan inisiatif berkaitan.
“Biasiswa juga telah ditingkatkan, dan kita akan tambah lagi tahun depan. Tahun ini sahaja seramai 12,000 pelajar menerima biasiswa — masing-masing 5,000 untuk Bumiputera Islam, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 2,000 daripada masyarakat Cina.
“Tetapi itu masih belum mencukupi. Sebab itu kita menubuhkan Tabung Pendidikan Sabah bagi membantu anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan yang belum menerima biasiswa. Setakat ini, lebih 10,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada tabung tersebut,” jelasnya.
Hajiji turut menyentuh perjalanan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang melalui pelbagai cabaran sebelum berjaya menstabilkan kerajaan dan ekonomi negeri sepanjang lima tahun lalu menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dalam konteks itu, beliau menyeru anak muda agar menjadi penyampai maklumat yang tepat kepada rakyat tentang usaha dan pencapaian kerajaan.
“Saya minta anak muda bantu kerajaan menjelaskan kepada rakyat apa yang telah kita lakukan. Tidak adil bagi kami yang bertungkus-lumus meningkatkan hasil negeri dan mengembalikannya kepada rakyat, tetapi difitnah pelbagai pihak,” tegasnya.