KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyeru koperasi wanita melipatgandakan usaha bagi memacu prestasi pencapaian gerakan koperasi wanita negara.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 250 koperasi wanita berdaftar di seluruh negara dengan pencapaian perolehan sebanyak RM16.2 juta.
“Bagi Sabah, daripada lebih 1,900 koperasi berdaftar sebanyak 33 koperasi wanita dengan catatan perolehan RM1.3 juta.
“Kalau dilihat dari segi peratusan, pencapaian ini masih rendah. Saya ingin melihat pencapaian koperasi wanita dapat dilonjakkan dan langkah awalnya ialah melalui penganjuran seminar kepimpinan seperti ini.
“Ia bukan sahaja menyampaikan maklumat daripada pelbagai agensi, tetapi juga memberi motivasi dan galakan kepada koperasi-koperasi wanita untuk bergerak lebih aktif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita Sabah 2025 di Klagan Hotel, di sini, hari ini.
Ewon berharap, seminar seumpama ini yang julung kali diadakan dapat memperkasa kepimpinan dan tadbir urus koperasi yang dipimpin oleh wanita.
Katanya lagi, koperasi wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekiranya kepimpinan dan tadbir urus diperkasakan dengan baik.
“Saya berharap penganjuran seminar ini dapat menjadi pemangkin kepada prestasi koperasi wanita yang lebih cemerlang bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Bagi tahun 2024, sebanyak 16,284 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan pencapaian perolehan keseluruhan RM68.18 bilion, membuktikan potensi besar sektor koperasi dalam menjana ekonomi negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang berganding bahu menganjurkan seminar ini.