Hajiji bersama jemputan lain melakukan gimik pecah tanah Projek Perumahan dan Lot Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Kampung Taka, Pitas di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas hari ini.
PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap mana-mana parti komponennya yang memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, GRS tidak pernah mendesak mana-mana parti komponen untuk meninggalkan gabungan itu, namun keputusan untuk bertanding secara bersendirian adalah hak masing-masing.
“Jika mereka mahu bertanding secara solo, itu keputusan mereka. GRS tidak menghalang,” katanya.
Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menegaskan bahawa beliau tetap yakin terhadap kekuatan dan perpaduan gabungan tersebut berdasarkan kerjasama erat antara parti-parti komponennya serta sokongan padu rakyat Sabah.
“Insya-Allah, kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain, terutama Parti Bersatu Sabah (PBS), masih kukuh. GRS akan terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.
“Kita mahu meneruskan perjuangan ini kerana perjalanan kita baru separuh jalan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lalu menjadi bukti nyata keupayaan Kerajaan Negeri memulihkan ekonomi serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa mandat diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ yang kini menampakkan hasil.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang sudah menunjukkan hasilnya,” katanya.
































