NEW YORK: Youtube bersetuju membayar pampasan sebanyak AS$22 juta (RM93) kepada pentadbiran Presiden Donald Trump bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah berkaitan penggantungan akaunnya susulan insiden Capitol pada 6 Januari 2021.
Menurut Utusan Malaysia, penyelesaian itu didedahkan dalam dokumen mahkamah yang difailkan di California pada Isnin, menjadikan YouTube yang merupakan anak syarikat kepada gergasi teknologi Alphabet (syarikat induk Google) antara platform media sosial utama menamatkan pertikaian panjang dengan Trump.
Dana pampasan tersebut akan disalurkan kepada projek pembinaan dewan acara baharu di Rumah Putih melalui sebuah badan yang dikenali sebagai Trust for the National Mall.
YouTube turut bersetuju menyalurkan AS$2.5 juta (RM10.5 juta) tambahan kepada beberapa rakan sekutu Trump.
YouTube menyekat akaun rasmi Trump pada 12 Januari 2021, beberapa hari selepas rusuhan Capitol, atas alasan kebimbangan terhadap ‘potensi berterusan untuk keganasan’.
Tindakan itu selari dengan langkah yang diambil oleh Facebook dan Twitter yang turut menggantung akaun Trump selepas kejadian tersebut.
Namun, Trump mencabar penggantungan itu di mahkamah, mendakwa beliau disekat secara tidak adil.
Dalam tuntutan asal difailkan Julai 2021, pasukan perundangan Trump menyatakan tindakan YouTube dan CEO Alphabet, Sundar Pichai, dilakukan atas dasar politik dan menafikan hak kebebasan bersuara.
Insiden 6 Januari 2021 menyaksikan lebih 140 pegawai keselamatan cedera dengan penyokong Trump menyerbu Capitol cuba menghalang pengesahan kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya presiden.




























