Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan terbukti menjadi platform terbaik dalam menyemai rasa bangga dan memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pertandingan yang kini memasuki tahun ke-33 itu perlu diteruskan kerana ia merupakan usaha penting dalam memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai medium integrasi, perpaduan serta pembinaan negara bangsa.
“Program ini berjaya melahirkan pelajar dari Sekolah Menengah Persendirian Cina yang berupaya berdebat dan menyampaikan idea-idea bernas.
“Dalam masa yang sama, ia juga membantu meningkatkan keyakinan diri, semangat berpasukan dan kreativiti pelajar. Saya percaya proses ini penting dalam membentuk generasi muda untuk menjadi pemimpin hebat pada masa akan datang,” katanya pada majlis penutupan pertandingan itu di SM Kian Kok, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan berdepan pelbagai cabaran, khususnya pengaruh bahasa asing dan penggunaan bahasa campuran atau rojak dalam pelbagai medium komunikasi termasuk media sosial.
“Cabaran ini bukan sahaja dihadapi bahasa kita, malah turut dialami oleh banyak bahasa lain di seluruh dunia. Namun kita tidak boleh tunduk kepada cabaran ini kerana melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kita mendapat penglibatan serta sokongan aktif daripada semua kaum dalam usaha memelihara bahasa kebangsaan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepentingan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris sebagai medium penguasaan ilmu yang lebih luas, tidak boleh dinafikan.
“Justeru, kita menyokong dasar MBMMBI — Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris,” katanya.
Ketua Menteri berkata, menjadi penghormatan buat Sabah kerana dipilih sebagai tuan rumah bagi pertandingan forum pelajar peringkat kebangsaan tahun ini yang menghimpunkan peserta dari seluruh negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBP atas sokongan berterusan terhadap penganjuran program itu bersama Gabungan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF).
































