Objek misteri yang jatuh dari langit sebelum mendarat di sebuah ladang di utara Argentina.
CHACO: Satu objek misteri berbentuk silinder dan diselaputi serat hitam seakan rambut mengejutkan penduduk selepas ia jatuh dari langit di sebuah ladang di Puerto Tirol, utara Argentina.
Menurut Utusan Malaysia, silinder gentian karbon itu berukuran kira-kira 1.7 meter panjang dan 1.2 meter lebar, dengan lubang berdiameter 40 sentimeter di satu hujung serta sistem injap di hujung lain, selain tertera nombor siri.
Bentuknya yang aneh membuatkan ada pengguna media sosial menyifatkannya seperti ‘rambut palsu gergasi’.
Pemilik tanah, Ramón Ricardo González, 47, menemui objek itu tertanam di tanah pukul 6.30 petang pada Khamis lalu sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Polis, bomba dan unit pemusnah bom hadir ke lokasi untuk memastikan ia bukan bahan letupan.
Hasil pemeriksaan mengesahkan objek itu tidak mengandungi bahan mudah terbakar atau berbahaya, namun pihak berkuasa masih bingung mengenal pasti asal usulnya.
Kawasan sekitar objek itu kini dipasang perimeter keselamatan sejauh 30 meter sementara siasatan dijalankan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia adalah serpihan angkasa, mungkin daripada misi SpaceX baru-baru ini, seperti kapsul tangki bahan api roket.
Seorang pemerhati angkasa maya pula mencadangkan ia mungkin ‘Composite Overwrapped Pressure Vessel’ daripada kapal angkasa.
Ada juga yang berpendapat kejadian sebegini akan semakin kerap berlaku memandangkan era industri angkasa kini berkembang pesat, dengan lebih banyak satelit dilancarkan oleh syarikat seperti SpaceX dan Amazon, sekali gus menjadikan ruang orbit bumi semakin sesak.




























