Ellron (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan Flovia (kanan) dan Caroline (kiri).
SOOK: Pembinaan Mahkamah Anak Negeri (MAN) pertama di daerah ini bakal melonjakkan martabat adat tempatan selain membuka lembaran baharu pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat pedalaman.
Majlis pecah tanah projek berkenaan semalam disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin yang menyifatkan pembinaan mahkamah tersebut sebagai bukti keprihatinan Kerajaan dalam memperkukuh institusi adat sambil menyediakan infrastruktur moden untuk masyarakat.
“Kalau dahulu kita hanya menumpang ruang di Pejabat Daerah, kini Sook akan memiliki bangunan sendiri yang lebih selesa dan teratur. Ini mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan adat dalam kehidupan masyarakat,” katanya yang juga ADUN Sook.

Ellron berkata, selain menjadi pusat urusan kehakiman adat, MAN akan berperanan sebagai simbol khazanah budaya yang mengekalkan relevansi adat istiadat perkahwinan, kekeluargaan dan sosial masyarakat setempat.
Menurut beliau, projek ini turut memberi limpahan manfaat ekonomi dengan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sepanjang tempoh pembinaan.
“Pembinaan mahkamah ini membuktikan bahawa Sook tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri. Banyak lagi projek akan menyusul termasuk Dewan Terbuka dan Kompleks Sukan Sook, yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi muda,” tambahnya.
Bangunan mahkamah berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 5 Julai 2027 selepas tempoh pembinaan selama 24 bulan. Projek itu dilaksanakan oleh Nurain Elektrikal (M) Sdn. Bhd. dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ellron turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah Sook serta pelbagai agensi kerajaan yang berganding bahu menjayakan projek tersebut.
Majlis pecah tanah itu turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng; Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiungan; Jurutera Cawangan Projek Bangunan, Ummi Ahmad; wakil Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Valeria Joseph serta pengamal adat sekitar Sook dan Tulid.
Dengan adanya MAN Sook kelak, masyarakat setempat dijangka menikmati kemudahan yang lebih baik dalam urusan adat dan kehakiman, sekali gus memperkukuh kedudukan institusi adat sebagai warisan bangsa yang wajar dipertahankan sepanjang zaman.
































