CEBU: Gempa bumi berukuran magnitud 6.9 menggegarkan wilayah tengah Filipina lewat malam Selasa, meruntuhkan dinding bangunan serta memutuskan bekalan elektrik, sekali gus mencetuskan panik apabila penduduk bergegas keluar dari rumah dalam kegelapan.
Menurut Utusan Malaysia, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan, gempa cetek itu berlaku pada pukul 9.50 malam (waktu tempatan) di luar pesisir utara Pulau Cebu berhampiran bandar Bogo, yang berpenduduk sekitar 90,000 orang.
Laporan rasmi setakat ini menyebut sekurang-kurangnya 20 orang maut manakala lebih 30 lagi cedera. Stesen radio tempatan DZMM, memetik pejabat maklumat Cebu, menyatakan angka korban mencecah 22 orang.
Kerajaan wilayah Cebu dalam kenyataan di laman Facebook rasmi menyeru sukarelawan perubatan untuk membantu operasi kecemasan.
“Ada kemungkinan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan,” kata pegawai penyelamat wilayah, Wilson Ramos, kepada AFP, merujuk kepada operasi mencari dan menyelamat di San Remigio dan Bogo.
Beberapa jalan kampung turut mengalami kerosakan, manakala talian elektrik terputus di seluruh Cebu dan pulau berdekatan selepas kabel kuasa terjejas, menurut syarikat grid nasional.
Ketua Polis Cebu City, Kolonel Enrico Figueroa berkata, beberapa transformer meletup ketika gegaran berlaku.
Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro memaklumkan, sejumlah rumah dan sebuah hospital di Bogo serta kawasan lain rosak, dan pasukan perubatan kecemasan telah digerakkan bagi merawat mangsa yang cedera atau terperangkap.