KOTA KINABALU: Pasukan bina badan Sabah (SBBA) bersedia menggegarkan pentas Kejohanan Mr Malaysia ke-54 yang berlangsung dari 25 hingga 29 September ini di Kuantan, Pahang.
Presiden Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA), Clarence Runggi berkata, kontinjen negeri itu akan menghantar pasukan penuh dalam semua kategori kecuali kategori junior, dengan sasaran sekurang-kurangnya dua pingat emas pada edisi kali ini.
“Sabah hadir dengan kekuatan hampir sepenuhnya kali ini. Atlet-atlet kita berada pada tahap persediaan terbaik dan kami yakin mampu mencipta kejayaan membanggakan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.
Beliau turut mengiringi kontinjen Sabah yang berlepas ke Kuantan untuk menyertai kejohanan berprestij tersebut.
Menurut Clarence, kejohanan ini menjadi medan pertemuan jaguh-jaguh bina badan terbaik dari seluruh negara dan dianggap sebagai platform tertinggi dalam arena bina badan tanah air.
Turut bersama mengiringi pasukan ialah pegawai-pegawai SBBA, selain penaja pakaian rasmi kontinjen daripada Ice Gemilang, yang memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat juang pasukan.
Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak serta semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet, pasukan Sabah diyakini mampu mencipta sejarah tersendiri dalam Kejohanan Mr Malaysia ke-54 kali ini.