Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah serta Sarawak digesa untuk mendaftar Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) berikutan penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pendaftaran perlu dibuat segera bagi membolehkan syarikat terlibat menikmati manfaat subsidi sebaik sahaja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 diumumkan.
Katanya, gesaan ini dibuat berikutan jumlah pendaftaran yang masih rendah sejak sistem SKPS dibuka pada 15 September lalu.
“Mengikut rekod SKPS, hanya 89 kenderaan daripada anggaran 2,677 kenderaan di Sabah telah didaftarkan dan hanya enam kenderaan daripada 1,970 kenderaan yang layak didaftarkan di Sarawak.
“Permohonan yang lengkap akan diluluskan serta-merta dan setelah mendapat notifikasi kelulusan, syarikat boleh membuat permohonan fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan.
“Pendaftaran ini perlu dibuat sebelum bermulanya pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan termasuk kadar harga subsidi untuk SKPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 juga akan dilaksanakan untuk kenderaan persendirian milik warganegara Malaysia sekali gus membolehkan rakyat di Sabah dan Sarawak menikmati harga runcit petrol yang lebih rendah.
“Harga runcit petrol RON95 yang akan dinikmati rakyat ialah pada kadar RM1.99 per liter sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, mekanisme penuh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
































