KULAI: Seorang ahli perniagaan muda terpaksa berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM86,590 ‘lesap’ selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 40 peratus dalam tempoh sehari.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 35 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.
“Menurut mangsa, suspek yang menawarkan pelaburan saham itu menjanjikan keuntungan antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh 24 jam selepas pelaburan dibuat, dengan keuntungan akan dimasukkan dalam akaun ‘GOATRADER’ mangsa.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa membuat 14 transaksi kewangan ke dalam dua akaun bank tempatan antara 5 Ogos hingga 12 Ogos lalu melibatkan wang berjumlah RM86,590,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, mangsa bagaimanapun gagal mengeluarkan wang berjumlah RM137,043 yang didakwa sebagai keuntungan apabila akaun ‘GOATRADER’ miliknya telah disekat dan tidak boleh diakses.
“Perkara itu menyebabkan mangsa tersedar telah menjadi sasaran sindiket ‘scammer’ sebelum terus membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan melibatkan penipuan pelaburan yang tidak wujud,” ujarnya sambil menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.