Jerry Ambuting Mohd. Said
KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Briged Jeneral (Kehormat) Dato’ Jerry Ambuting Mohd. Said, menzahirkan simpati terhadap mangsa banjir di seluruh negeri, termasuk insiden seorang petugas Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) yang hilang dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Keningau, malam tadi.
Beliau mengingatkan semua petugas penyelamat, sukarelawan dan kakitangan utiliti agar tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika menjalankan operasi di lapangan.
“Saya ingin mengingatkan semua petugas penyelamat banjir dan tanah runtuh supaya berwaspada dan jangan mengabaikan keselamatan diri ketika operasi menyelamat dijalankan.
“Keselamatan nyawa adalah keutamaan. Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, setiap anggota penyelamat dan sukarelawan mesti berhati-hati dan tidak mengambil risiko berlebihan yang boleh mengundang tragedi”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan mangsa bencana yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) supaya bersabar menghadapi dugaan ini serta mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah (JPBD).
“Kesabaran amat penting ketika menghadapi ujian ini. Arahan berpindah adalah demi keselamatan, dan semua pihak perlu akur untuk mengelakkan kehilangan nyawa.
“Kami di RELA Sabah merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana tanah runtuh dan banjir,” katanya.
Jerry juga menegur tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang menjadikan gangguan bekalan air dan elektrik akibat bencana banjir dan tanah runtuh sebagai modal untuk menyalahkan kerajaan negeri.
“Ini amat tidak wajar kerana gangguan bekalan adalah kesan langsung daripada banjir besar. Jangan menuding jari menyalahkan pemimpin Kerajaan ketika rakyat sedang menderita.
“Keutamaan sekarang ialah menyelamatkan nyawa, membantu mangsa dan memulihkan kemudahan asas secepat mungkin,” tegasnya.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menunjukkan komitmen tinggi dengan melawat kawasan terjejas, meninjau keadaan di lapangan serta menyalurkan bantuan segera kepada mangsa bencana.
Dalam kejadian di Kampung Nuntunan, Apin-Apin, Keningau, malam tadi, seorang lelaki berusia 30-an yang juga petugas Sabah Electricity hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan bersama dua rakan sekerja.
Dua berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa yang terakhir dilihat memakai ves Sabah Electricity masih hilang. Operasi mencari serta menyelamat kini giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Sabah Electricity dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memohon doa orang ramai untuk keselamatan mangsa selain menghormati ruang keluarga yang sedang berdepan dugaan berat.