PENNSYLVANIA: Rakaman mengejutkan di Hersheypark memaparkan detik cemas apabila seorang kanak-kanak berjalan di atas trek monorel sebelum diselamatkan oleh pengunjung dewasa yang panik melihat situasi itu.
Menurut Utusan Malaysia, jurucakap taman tema berkenaan memaklumkan, kanak-kanak lelaki itu dilaporkan hilang kira-kira jam 5 petang Sabtu selepas terpisah daripada ibu bapanya. Ketika pasukan keselamatan menjalankan pencarian, dia dilihat memasuki kawasan larangan laluan monorel yang ketika itu ditutup.
“Tunggangan itu ditutup dan telah disekat dengan rantai di pintu masuk serta palang keselamatan di platform,” jelas jurucakap itu.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak tersebut berdiri di atas trek monorel yang mengelilingi taman berkenaan, manakala orang ramai menjerit dari bawah bagi membimbingnya ke tempat selamat.
Namun, suara bising menyebabkan kanak-kanak itu kelihatan panik lalu menutup telinga sambil berjalan ke kiri dan kanan.
Detik cemas berakhir apabila seorang dewasa memanjat bumbung gerai makanan berhampiran sebelum melompat ke trek dan segera menarik kanak-kanak itu turun ke tempat selamat.
“Seorang tetamu bertindak pantas membantu membimbing kanak-kanak itu ke tempat selamat. Pasukan kami segera bertindak sejurus dia dikesan di atas trek, dan pada jam 5.28 petang, kanak-kanak itu berjaya disatukan semula dengan keluarganya dalam keadaan tidak cedera,” kata pihak Hersheypark.
Insiden tersebut mendapat pujian orang ramai di media social yang memuji tindakan pantas penyelamat serta menekankan kepentingan memantau pergerakan anak-anak di kawasan sesak seperti taman tema.
“Saya yakin lelaki itu seorang bapa kerana dia langsung tidak berfikir panjang dan bertindak pantas,” tulis seorang individu.
“Tahniah kepada dua lelaki yang memanjat dan menyelamatkannya. Mereka tidak teragak-agak dan bertindak segera! Syukurlah dia selamat,” ujar seorang lagi.
Insiden itu berlaku lebih sebulan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia di kolam ombak Hersheypark yang sesak.


































