Gambar di lokasi menunjukkan serpihan tulang dan abu mayat bertaburan di tanah berdebu serta ada yang terkumpul dalam bentuk longgokan.
LAS VEGAS: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan berhubung penemuan sekitar 70 longgokan abu dan serpihan tulang manusia di kawasan gurunterpencil berhampiran Searchlight, sejam perjalanan dari Lembah Las Vegas.
Menurut Utusan Malaysia, 8 News Now melaporkan, seorang individu menemui lokasi berkenaan pada 28 Julai lalu dan antara yang ditemui termasuk serpihan tulang, abu, sisa daging terbakar, cebisan kabel pengikat serta sebuah balang abu yang pecah.
Gambar di lokasi menunjukkan serpihan tulang dan sisa mineral bertaburan di tanah berdebu, ada yang terkumpul dalam bentuk longgokan dan ada juga yang berselerak di celah pokok renek dan kaktus.
Biro Pengurusan Tanah mengesahkan sisa tersebut adalah abu pembakaran manusia dan memaklumkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca dan pihak yang terlibat.
Menurut undang-undang Nevada, tiada larangan menabur abu mayat di tanah awam, namun aktiviti komersial berkaitan penaburan abu adalah dilarang dan pihak berkuasa percaya sisa berkenaan adalah hasil proses pembakaran formal yang biasanya dilakukan di pusat krematorium.
Kawasan Searchlight yang berpenduduk sekitar 500 orang terkenal dengan sejarah perlombongan, selain keadaan geografinya yang sunyi dan terpencil, menjadikan lokasi itu sukar dijejaki orang ramai.
Pakar forensik menjelaskan sukar untuk mengenal pasti identiti individu melalui abu pembakaran kerana suhu tinggi memusnahkan hampir semua bahan genetik.


































