Penunjuk perasaan bertempur semasa protes dengan pihak berkuasa di hadapan ibu pejabat Polis Wilayah Metropolitan Jakarta di Jakarta, kelmarin.
JAKARTA: Rusuhan di ibu negara Indonesia semakin memuncak pada malam Jumaat hingga awal Sabtu, apabila balai polis dan kemudahan awam menjadi sasaran beberapa tindakan vandalisme selepas protes berhari-hari bertukar ganas.
Menurut Utusan Malaysia, pergolakan bermula pada Khamis ketika perhimpunan pekerja di luar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), sebelum memuncak akibat insiden penunggang e-hailing, Affan Kurniawan, maut dirempuh kenderaan perisai polis yang dikerahkan untuk menyurai penunjuk perasaan.
Menjelang tengah malam, kumpulan perusuh membakar kenderaan kerajaan, merosakkan infrastruktur awam serta menyerang pos polis.
Di Jakarta Timur, ibu pejabat polis wilayah dibakar, mengakibatkan puluhan kenderaan musnah, tingkap pecah, pondok kawalan diruntuhkan, manakala beberapa pegawai cedera akibat dibaling batu.
Pihak berkuasa turut mengesahkan lima balai polis daerah, Matraman, Makasar, Ciracas, Jatinegara dan Cipayung, diserang penunjuk perasaan.
Sementara itu, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kebakaran yang dicetuskan penunjuk perasaan di sebuah bangunan majlis perbandaran di bandar Makassar, timur Indonesia.
Saksi melaporkan kejadian rompakan dan pembakaran kemudahan polis di Jakarta Pusat, yang menempatkan skuad bom Briged Bergerak (Brimob), dengan dua buah bas dibakar.
Beberapa hentian bas di Senen dan sepanjang Jalan Sudirman turut dibakar.
Ratusan orang berkumpul di luar ibu pejabat polis Jakarta Timur pagi semalam, sebahagiannya melaungkan tuntutan keadilan buat Affan, manakala pasukan keselamatan membentuk benteng bagi mengelakkan keganasan berulang.
Sebelum ini, Presiden Prabowo Subianto, memberi jaminan anggota polis yang terlibat dalam kematian lelaki berusia 21 tahun itu akan dihukum sewajarnya.
Kelmarin, pemandu kenderaan berperisai polis mengaku bertanggungjawab merempuh hingga mengakibatkan kematian Affan.
Dalam sesi pendengaran Bahagian Hal Ehwal Dalaman Polis Kebangsaan (Propam) pada Jumaat, pemandu itu mendakwa keadaan huru-hara menghalangnya melihat mangsa.


































