Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengotakan janji menzahirkan satu lagi reformasi besar apabila membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025.
Menurut Utusan Malaysia, pada masa sama, kerajaan tidak mahu lagi budaya penganugerahan kontrak runding terus diamalkan membabitkan sebarang perolehan kerajaan kerana membuka ruang kepada ketirisan, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), Kerajaan Madani sekali lagi melalui perundangan mengikat kuasa kerajaan bagi memperkukuh tatakelola pentadbiran negara.
Katanya, walaupun terdapat dakwaan bahawa Rang Undang-Undang Perolehan memberi kuasa dan budi bicara berlebihan kepada Menteri Kewangan, hakikatnya kuasa Menteri Kewangan atas perolehan kerajaan telah termaktub dalam Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Walau bagaimanapun, dengan adanya RUU ini, semak dan imbang diperkukuhkan, di mana keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.
“Tambahan, RUU Perolehan Kerajaan memperkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan dan Menteri Kewangan tidak terkecuali atas kesalahan yang diperuntukkan dalam RUU Perolehan Kerajaan.
“Contohnya, jika tidak menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan,” katanya ketika membacakan RUU Perolehan Kerajaan 2025 untuk kali kedua di Dewan Rakyat, kelmarin.
Anwar berkata, bagi terus memperkukuh pengurusan fiskal, kerajaan mencadangkan penggubalan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada FRA dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Akta ini berhasrat menangani ketirisan dan mengoptimum sumber negara supaya terus berupaya memacu pembaharuan ekonomi dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa perolehan rundingan terus yang dibuat tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat dan memanfaat sekumpulan kecil elit maha kaya.
Sedangkan, katanya, projek-projek besar seperti tebatan banjir, sekolah, jalan raya dan kesihatan menelan belanja begitu besar.
“Sejak tahun pertama, saya telahpun memberhentikan amalan rundingan terus dan beralih kepada sistem perolehan tender bagi projek pembangunan biasa.
“Sebelum ini tidak mustahil untuk projek seperti jalan raya, sekolah dan hospital dianugerahkan secara rundingan terus.
“Sebilangan kelulusan lalu yang dibuat dengan tergopoh-gapah telah dibatalkan dan ditender semula. Ini bagi memastikan projek cakna rakyat dan berimpak tinggi dilaksana dengan nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada masa ini, urusan perolehan kerajaan dikawal selia berpandukan Akta Tatacara Kewangan 1957, Arahan Perbendaharaan serta penerbitan Pekeliling Perbendaharaan.
Manakala, katanya, peraturan semasa hanya bersifat pentadbiran dan sebarang pelanggaran dan ketidakaturan oleh penjawat awam hanya diambil tindakan tatatertib dan tidak terpakai kepada pesara.
“Maknanya, tiada pertanggungjawaban yang jelas, tiada tindakan punitif yang tegas sementara wang rakyat terus terbazir,” katanya.