Sindiket pembantu rumah harian tumpas dalam operasi Jabatan Imigresen Negeri (JIM) Pahang dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen di Temerloh, Pahang.
KUANTAN: Jabatan Imigresen Negeri (JIM) Pahang dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menumpaskan sindiket mengeksploitasi pembantu rumah harian yang didalangi rakyat tempatan dalam operasi khas di Temerloh, dekat sini, pada 24 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Imigresen Pahang, Nursafariza Hasan berkata, operasi berkenaan menyelamatkan 17 wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.
“17 wanita berkenaan yang berusia antara 23 tahun hingga 50 tahun dan memiliki pas lawatan sosial (PLS) telah tamat tempoh, diselamatkan ketika pasukan operasi menyerbu sebuah premis di Temerloh kira-kira pukul 10 malam.
“Turut ditahan dalam operasi itu ialah masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan dipercayai sebagai pemilik agensi dan penjaga kepada semua mangsa terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Nursafariza berkata, modus operandi sindiket adalah menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang sudah pun ditentukan oleh sindiket dengan bayaran antara RM120 hingga RM150 sehari.
Menurutnya, pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu menghubungi agensi terbabit dengan menetapkan tarikh dan waktu bekerja yang akan diatur termasuk menghantar serta mengambil mereka setelah selesai bekerja.
“Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak lebih dua tahun dan mengaut keuntungan melebihi RM500,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.
“Kesemua mangsa tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket itu dan kebebasan mereka turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga di negara asal serta diwajibkan bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi ditetapkan agensi.
“Mereka turut diarahkan bekerja separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan yang berbeza setiap hari. Kadar bayaran harian diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka,” katanya.
Beliau berkata, JIM Pahang turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai dijadikan kenderaan untuk mengangkut mangsa, wang tunai RM10,570, pelbagai dokumen berkaitan dan 87 naskhah pasport Indonesia serta 52 unit telefon bimbit milik mangsa yang disimpan dan dikawal oleh penjaga premis.
“Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“JIM juga telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah ATIPSOM 2007 (Akta 670). Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010), Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Akta Pasport 1966 dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” ujarnya.
Buat masa ini katanya, mangsa pemerdangan itu ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum tindakan selanjutnya, manakala warga tempatan pemilik agensi pekerjaan dan penjaga ditahan reman untuk siasatan.


































