Hajiji menandatangani plak Bantuan Mesra Rakyat (BMR) sebagai simbolik perasmian penyerahan BMR Sabah Electricity pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Perkarangan Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-Laya, Tuaran hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha untuk meningkatkan keselamatan tenaga di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya tahan, selaras dengan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Sabah.
Menurut beliau, usaha berterusan itu merangkumi peningkatan kapasiti penjanaan tenaga, pengukuhan rangkaian penghantaran dan pengagihan, serta penambahbaikan kualiti perkhidmatan untuk pengguna di seluruh negeri.
“Komitmen ini selaras dengan misi Kerajaan Negeri untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan rakyat berterusan.
“Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan sedang melaksanakan strategi menyeluruh secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya pada program Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di perkarangan Masjid At-Taqwa Laya-Laya di sini hari ini.
Hajiji berkata, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan projek penjanaan tenaga baharu dengan penggunaan campuran tenaga yang lebih pelbagai.
Ini termasuk penggunaan loji jana kuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, selain pengembangan tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, solar dan angin, serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga moden termasuk Battery Energy Storage System dan pumped-storage hydropower.
Sementara itu, beliau berkata, Projek Penyambungan Rangkaian Tenaga Sabah-Sarawak yang dilancarkan awal tahun ini dijangka dapat memperkukuh lagi kestabilan sistem bekalan elektrik di negeri ini.
Menurut beliau, projek itu bukan sahaja menjadikan bekalan tenaga lebih stabil dan boleh dipercayai, malah membantu secara berperingkat mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan berasaskan bahan api fosil.
“Pada masa yang sama, ia juga akan meningkatkan margin rizab elektrik Sabah serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan tenaga negeri,” katanya.
Beliau turut berkata, pelancaran projek solar bersaiz 15 megawatt (MW) di Tuaran baru-baru ini menandakan langkah penting dalam transformasi struktur tenaga Sabah.
Menurut beliau, projek itu bukan sahaja menambah kapasiti tenaga kepada sistem bekalan elektrik negeri, tetapi juga selaras dengan pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP2040) yang menekankan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan pemelbagaian sumber tenaga.
“Usaha ini menghantar isyarat jelas bahawa Sabah komited untuk memperkukuh keselamatan tenaganya kerana tanpa bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi, sukar bagi kita menarik pelaburan berimpak tinggi serta membangunkan industri berasaskan nilai tambah,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui inisiatif sumbangan Wakalah Zakat kepada golongan asnaf, masjid dan institusi tahfiz di Tuaran.
Menurut beliau, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan, malah mengeratkan hubungan antara Kerajaan, agensi dan masyarakat.
































