TEXAS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memuji kelulusan peta pilihan raya baharu Texas yang disifatkan peluang besar untuk membantu Parti Republikan mengekalkan kuasa di Kongres pada pilihan raya pertengahan penggal 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Dewan Senat Texas meluluskan langkah persempadanan semula itu dengan undian 18-11, selepas lebih lapan jam perbahasan hangat.
Usaha berkenaan direka bentuk untuk mewujudkan lima kerusi baharu yang memihak kepada Republikan.
Minggu lalu, dewan rendah badan perundangan negeri itu meluluskan rang undang-undang (RUU) tersebut, selepas wakil Demokrat cuba melengah-lengahkan proses dengan menafikan korum bagi menghalang agenda Republikan.
Trump menerusi hantaran di platform Truth Social berkata, peta baharu itu akan memberi rakyat Texas peluang besar memilih ‘lima ahli Kongres MAGA baharu’ dalam pilihan raya pertengahan penggal 2026, yang digelarnya kemenangan besar bagi agenda America First’.
Gabenor Texas, Gregg Abbott, menegaskan beliau akan segera menandatangani RUU tersebut menjadi undang-undang.
Cubaan terakhir Senator Demokrat, Carol Alvarado untuk menyekat kelulusan dengan melengahkan undian, gagal apabila Republikan menggunakan peraturan khas yang jarang digunakan bagi menamatkan perbahasan dan terus membawa usul itu kepada undi akhir.
Undian itu menutup beberapa minggu drama politik, termasuk tindakan wakil Demokrat meninggalkan negeri pada Julai lalu bagi menghalang langkah Republikan.
Demokrat mendakwa, peta baharu itu bertujuan mengurangkan pengaruh undi masyarakat kulit hitam dan Hispanik yang lazimnya menyokong mereka.
Kaukus Demokrat Senat Texas menerusi hantaran di X pada Sabtu berkata, negeri itu mempunyai sejarah lama diskriminasi kaum yang memalukan dan peta tersebut hanyalah siri terbaharu dalam sejarah itu.


































