Sebahagian rakyat Malaysia dan Thailand yang bersolidariti ke atas kematian Zara Qairina di Masjid Kerisik, Pattani, Thailand.
PATTANI, THAILAND: Tragedi menimpa pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, di Sabah bukan sahaja mengundang kesedihan rakyat Malaysia, malah turut mendapat simpati masyarakat Islam di Selatan Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, rata-rata penduduk di selatan negara ini tidak putus-putus berdoa supaya kematian remaja berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya.
Seorang penduduk, Suma Ahamad, berkata, meskipun tidak mendapat liputan oleh media arus perdana Thailand namun mereka tetap mengikuti perkembangan semasa kes secara rapat.
Menurutnya, maklumat tersebut diperoleh daripada laporan portal berita utama di Malaysia selain kandungan sahih menerusi aplikasi TikTok dan Facebook.
“Walaupun tidak banyak dilaporkan media arus perdana Thailand, kisah ini sangat menyentuh hati kerana ia melibatkan seorang pelajar yang masih muda,” katanya.
Sebelum itu, hampir 1,000 penduduk tempatan bersama ahli kelab pemilik van dari empat wilayah iaitu Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla berkumpul di Masjid Kersik di sini untuk mengadakan solat hajat dan tahlil khas buat Allahyarham Zara.
Perhimpunan aman itu menjadi simbol solidariti merentas sempadan, apabila lebih 200 van berkonvoi dari Yala menuju ke masjid berusia lebih 500 tahun itu sebelum solat Zuhur berjemaah diikuti bacaan doa untuk Allahyarham Zara.
Jurucakap perhimpunan, Sobri Salleh, menjelaskan, tujuan utama mereka adalah bagi menyatakan sokongan moral kepada keluarga mangsa serta memohon ke hadrat Allah agar segala urusan dipermudahkan.


































