Dr. Joachim (dua dari kanan) meninjau pameran
KOTA KINABALU: Sektor pelancongan dan pembangunan hartanah menjadi pemacu penciptaan pekerjaan, keusahawanan serta keyakinan jangka panjang terhadap masa depan ekonomi Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau menyeru sektor awam dan swasta memperkukuh kerjasama ke arah pertumbuhan yang inklusif, mampan dan berpandangan jauh.
“Bersempena dengan penutupan tirai PropEX 2025, saya menggalakkan semua pihak sama ada sektor awam atau swasta untuk terus bekerjasama. Marilah kita memberi tumpuan kepada pembangunan yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa depan, yang mampu memperbaiki kehidupan serta membina komuniti di seluruh Sabah,” katanya ketika menutup Pameran Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) PropEX 2025 di sini hari ini.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, gabungan kukuh antara hartanah dan pelancongan mencerminkan prospek pertumbuhan positif bagi Sabah.

Dr. Joachim memberikan ucapannya
Beliau berkata, pelaburan besar dalam industri strategik serta pembangunan bandar baharu sedang membentuk semula landskap ekonomi negeri.
Merujuk kepada rancangan Kumpulan Kibing melabur RM7.2 bilion bagi membangunkan loji pembuatan kaca solar di Kimanis, beliau berkata, projek itu, sekiranya direalisasikan, mampu menjana sehingga 5,000 pekerjaan dalam tiga fasa. Ini di samping operasi sedia ada syarikat berkenaan di KKIP yang kini menggaji lebih 1,600 rakyat Sabah serta mengeksport ke pasaran global.
“Ini menandakan satu peralihan positif ke arah industri berteknologi tinggi dan mampan di negeri kita,” katanya.
Dr. Joachim turut menyorot perkembangan pesat sektor hartanah di Kota Kinabalu, dengan beberapa projek mercu tanda sedang dilaksanakan. Antaranya The V by Jesselton di pusat bandar, The Bedrock @ Jesselton Docklands di bawah pelan pemulihan tepian laut, The Logg di Luyang yang menampilkan ruang gaya hidup dan runcit bersepadu, serta Boulevard 360 @ Bundusan di Penampang.
“Projek-projek ini mencerminkan keyakinan kukuh pelabur dan permintaan yang semakin meningkat terhadap persekitaran kehidupan bandar yang dinamik serta direka bentuk dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa momentum sektor hartanah turut diperkukuh oleh kebangkitan semula industri pelancongan Sabah.
Di Kota Kinabalu, kemasukan semula pelancong antarabangsa dan domestik telah menghidupkan semula perniagaan, meningkatkan keyakinan serta membuka peluang baharu. Sementara itu, Semporna sedang menikmati lonjakan pelancongan dengan pembukaan Wyndham Semporna Resort yang dijangka melonjakkan lagi kedudukannya sebagai destinasi marin dan pulau terkemuka.
“Apabila siap kelak, ia akan menjadi resort berjenama antarabangsa pertama di Semporna, sekali gus meletakkannya setaraf dengan destinasi utama serantau,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SHAREDA atas kejayaan menganjurkan PropEX 2025, yang disifatkannya bukan sekadar pameran hartanah tetapi juga platform dialog, perkongsian serta penetapan visi untuk pembangunan masa depan Sabah.


































