Liew yang mewakili Ketua Menteri, (tengah) bergambar bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah (di sebelah kirinya) serta tetamu lain pada majlis pembukaan rasmi lawatan Doulos Hope ke Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sekali lagi mengalu-alukan kehadiran MV Doulos Hope ke perairan Sabah dengan misinya untuk menyebarkan ilmu pengetahuan serta menyatukan masyarakat demi tujuan bersama.
“Kami berbesar hati menerima kunjungan anda sekali lagi selepas lawatan terakhir anda dua tahun lalu. Setiap kali Doulos berlabuh di perairan kita, ia membawa keterujaan tersendiri, dan kali ini juga tidak terkecuali. Ia merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh ramai,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Bagi ramai orang di seluruh dunia, di mana sahaja Doulos Hope berlabuh, kapal ini melambangkan komitmen bersama kita untuk menyebarkan ilmu dan menyemai harapan.
“Saya amat terharu dengan matlamat anda untuk berkongsi ilmu yang tidak ternilai ini serta menyalakan harapan kepada komuniti yang anda dekati di setiap pelabuhan. Tiada yang lebih meyakinkan selain hakikat bahawa Doulos Hope menjelmakan nilai-nilai ini melalui literasi dan pendidikan,” katanya pada majlis pembukaan rasmi di atas kapal MV Doulos Hope di Jeti Selatan, Pelabuhan Kota Kinabalu, hari ini. Ucapannya dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Ketua Menteri berkata, adalah sangat menggalakkan untuk melihat inisiatif Doulos Hope memainkan peranan penting dalam mempromosikan literasi, pertukaran budaya dan penglibatan komuniti, di samping memastikan akses kepada bahan bacaan di mana sahaja kapal itu berlabuh.
“Koleksi buku anda yang merangkumi pelbagai budaya dan bahasa telah banyak meningkatkan kefahaman budaya serta menggalakkan pertukaran dalam kalangan pengunjung.
“Perjalanan Doulos Hope menjadi peringatan yang cukup bermakna tentang impak positif yang boleh kita capai apabila kita bersatu dalam mengejar ilmu pengetahuan dan harapan,” katanya.
Kapal itu, yang akan berlabuh di sini selama tiga minggu, mempunyai kru antarabangsa terdiri daripada lebih 100 sukarelawan dari lebih 30 negara, dan ini menjadi bukti bahawa perpaduan dalam kepelbagaian mampu menjembatani perbezaan budaya, kaum dan kepercayaan, katanya.
Hajiji berharap kru yang diketuai oleh Pengarah Nidhin Sebastian dan Kapten Graeme Bird akan mengambil peluang untuk menerokai tarikan-tarikan di Sabah serta menyelami keramahan dan kepelbagaian masyarakatnya.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Doulos Hope sepanjang lawatannya ke Kota Kinabalu serta selamat meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya,” katanya.


































