Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 syarikat dikenakan penalti berjumlah RM97.31 juta kerana terlibat dalam kartel penipuan bida di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan itu disiarkan secara meluas melalui laman web Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) serta pelbagai saluran media.
“Keputusan ini boleh dijadikan rujukan oleh kementerian dan agensi kerajaan bagi mengambil tindakan sewajarnya dalam pengurusan dan pertimbangan perolehan kerajaan.
“MyCC juga mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam memberi advokasi serta kesedaran mengenai isu kartel tipuan bida dalam perolehan awam,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, kelmarin.
Armizan berkata, langkah kerajaan mengawal kenaikan harga barang merangkumi strategi A4.3 termasuk penambahbaikan infrastruktur, sektor peruncitan, penyediaan platform ketelusan harga serta penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh.
Katanya, pembangunan repositori harga dan bekalan turut dilaksanakan bagi memastikan ketelusan sepanjang rantaian bekalan.
“RMK13 akan menumpukan kepada pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2026-2030 yang memfokuskan isu utama rakyat seperti makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, pendapatan dan utiliti.
“Pelan ini bertujuan memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan strategi menangani kos sara hidup, termasuk penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurusan subsidi,” katanya.
Mengenai subsidi diesel, beliau berkata, Kementerian Kewangan bersetuju untuk memperluaskan pemberian subsidi kepada pengusaha feri dan bot penumpang di pulau-pulau utama termasuk Pulau Tioman.
Katanya, subsidi turut melibatkan pengoperasian feri roll on roll off (RORO) yang membolehkan penduduk dan pelancong membawa kenderaan dari pulau ke tanah besar dan sebaliknya.
“Harga subsidi diesel bagi feri penumpang dan feri RORO ditetapkan pada RM2.50 seliter, dengan jumlah maksimum subsidi yang boleh dituntut ialah 50 sen seliter.
“Kerajaan percaya kemudahan ini dapat membantu mengurangkan kos operasi pengusaha feri, menstabilkan kadar tambang serta memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan merancakkan semula sektor pelancongan,” katanya.
































