DUBAI: Polis Dubai berjaya menumpaskan cubaan mencuri sebutir berlian merah jambu bernilai AS$25 juta (RM105 juta) selepas menahan tiga suspek hanya dalam tempoh lapan jam.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Emiriah Arab Bersatu (UAE), WAM, memberitahu, kejadian berlaku apabila seorang pedagang berlian dari Eropah diperdaya oleh satu kumpulan penjenayah untuk membawa batu permata itu ke sebuah vila kononnya bagi sesi tontonan pelanggan kaya.
Namun, sebaik tiba, berlian berharga itu telah dilarikan kumpulan terbabit.
“Berkat usaha pasukan khas dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini, tiga lelaki warga sebuah negara Asia berjaya ditahan dalam masa singkat,” kata Polis Dubai.
Rakaman video yang dikongsi Pejabat Media Dubai menunjukkan ketiga-tiga suspek dengan wajah dikaburkan, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kegiatan mereka dikesan.
Dubai merupakan pusat perdagangan berlian antarabangsa yang dikawal ketat, sekali gus menjadikan keselamatan dan kestabilan sebagai kebanggaan utama negara itu.
































