Fadillah Yusof
PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual berlangsung di ibu negara hari ini akan membincangkan isu penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak dalam konteks dasar pendidikan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu penting bagi memastikan keseragaman pendidikan di peringkat nasional tidak terjejas.
Katanya, perbincangan turut berkaitan mengenai program dwibahasa (DLP) yang sedang dilaksanakan di Sarawak.
“Sudah tentu antara cabarannya adalah dasar nasional, khususnya dasar bahasa yang menetapkan keseragaman dalam sistem pendidikan negara.
“Saya akan mendengar laporan dalam mesyuarat MA63 dan salah satu perkara yang dibawa adalah berhubung bidang pendidikan yang dituntut oleh Sarawak,” katanya selepas menghadiri Program Bicara Eksekutif Madani di Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak, kelmarin.
Beliau berkata, Mesyuarat MA63 itu dijangka turut membincangkan beberapa isu lain antaranya termasuk penubuhan Pusat Kanser Sarawak serta keperluan infrastruktur kesihatan lain di negeri itu yang kini dalam proses semakan dan pelaksanaan secara berperingkat.
Mesyuarat MA63 adalah platform utama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak untuk menyemak semula pelaksanaan hak-hak negeri di bawah perjanjian pembentukan Malaysia.
































