PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan bahawa pengecualian Cukai Perkhidmatan ke atas penyewaan kapal dan pesawat udara tidak dibuat secara senyap-senyap.
Menurut Utusan Malaysia, kementerian itu berkata, pemakluman rasmi telah dibuat melalui Dasar Cukai Perkhidmatan Bil. 2/2025 (Pindaan No. 1) yang dimuat naik di portal MySST Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 24 Julai lalu.
Katanya, pengecualian ini diberikan kerana dua sebab utama iaitu mengelak pendaftaran di luar negara yang mana pengenaan cukai boleh mendorong pemilik kapal/pesawat tempatan untuk berdaftar di luar negara
“Ia sekali gus mengurangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia.
“Pengecualian cukai ini juga bagi mengekalkan daya saing industri tempatan yang mana negara jiran tidak mengenakan
cukai yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MOF, tanpa pengecualian, pelanggan mungkin beralih kepada perkapalan atau penerbangan luar negara.
Katanya, pengecualian ini khusus untuk industri penerbangan dan maritim, yang mempunyai peranan penting dalam rantaian bekalan, pelancongan, dan ekonomi negara.
“Ia tidak terpakai kepada sewaan kenderaan seperti kereta, bas, atau premis perniagaan yang berbeza sifat penggunaannya,” katanya.
































