Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa sedang mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah forensik dalam siaran langsung di platform TikTok berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir yang tular sejak 13 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil semakan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, individu terbabit bukan pakar bedah atau pegawai forensik serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan KKM, meskipun mendakwa dirinya hadir semasa proses bedah siasat.
“Malangnya, kenyataan palsu itu tersebar luas seolah-olah perkara itu benar. Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Perubatan KKM selepas menerima maklumat daripada Ketua Pasukan Patologi Forensik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, akaun TikTok individu berkenaan telah ditukar kepada mod peribadi, namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan lokasi serta identitinya bagi tujuan pendakwaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya termasuk penipuan yang menggunakan nama kementerian.
“Perlu diingat, menyebarkan berita palsu adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 jika disabitkan di mahkamah.
“Serahkan kepada polis untuk siasatan, Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pendakwaan dan mahkamah untuk membuat keputusan. Jangan jadi polis, peguam dan hakim pada masa sama,” katanya.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I.
































