Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Donald Trump meletakkan jabatan polis Washington di bawah kawalan Persekutuan dan mengerahkan pengawal kebangsaan ke ibu negara bagi menangani ‘gelombang jenayah tanpa undang-undang’, walaupun statistik menunjukkan jenayah ganas mencatatkan paras terendah dalam tempoh 30 tahun pada tahun 2024.
Menurut Utusan Malaysia, langkah Trump itu, yang mengetepikan pemimpin bandar yang dipilih secara demokrasi, menandakan satu tindakan luar biasa dalam penggunaan kuasa presiden di ibu negara AS.
Rumah Putih menyatakan seramai 800 anggota pengawa kebangsaan akan dikerahkan, dengan Tentera Darat AS memaklumkan antara 100 hingga 200 anggota akan menyokong penguatkuasaan undang-undang pada satu-satu masa, menjalankan tugas termasuk “pentadbiran, logistik dan kehadiran fizikal bagi menyokong pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang.”
Ini merupakan kali kedua pada musim panas ini presiden dari parti Republikan itu mengerahkan tentera ke bandar yang diperintah oleh parti Demokrat, selepas menghantar ribuan anggota pengawal kebangsaan ke Los Angeles pada bulan Jun walaupun mendapat bantahan daripada pegawai negeri dan tempatan.
Kenyataan Trump itu dibuat ketika perbicaraan persekutuan bermula di San Francisco untuk menentukan sama ada beliau melanggar undang-undang AS dengan menghantar pengawal kebangsaan ke Los Angeles tanpa kelulusan Gabenor California, Gavin Newsom.
“Saya mengerahkan pengawal kebangsaan untuk membantu memulihkan undang-undang, ketenteraman dan keselamatan awam di Washington, DC.
“Ibu negara kita sudah diambil alih oleh kumpulan samseng ganas.
“Jabatan Polis Metropolitan dan pihak berkuasa persekutuan akan disokong dalam usaha ini, satu usaha yang sangat besar, dengan 800 anggota pengawal kebangsaan yang akan kita kerahkan. Dan lebih lagi, jika perlu, lebih lagi,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
Hegseth memberitahu, unit-unit pengawal kebangsaan dijangka tiba di ibu negara dalam minggu akan datang.


































