WASHINGTON: Seorang lelaki warga China mengaku bersalah di mahkamah daerah Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan menyeludup kira-kira 850 ekor kura-kura dilindungi yang dibungkus dalam sarung kaki dan dilabel sebagai permainan kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, Wei Qiang Lin dilaporkan menghantar lebih 200 bungkusan berisi kura-kura ke Hong Kong antara Ogos 2023 hingga November 2024, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman pada Isnin.
Menurut pihak berkuasa, kotak-kotak yang berisi haiwan tersebut dilabel sebagai permainan haiwan plastik dan barangan lain.
Qiang Lin didapati menghantar terutamanya spesies eastern box turtle dan three-toed box turtle.
Kedua-dua spesies ini berasal dari AS dan sangat bernilai dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan, khususnya di China di mana ia dianggap sebagai simbol status.
Kura-kura tersebut mempunyai corak unik pada cengkerang dan pihak berkuasa AS menganggarkan nilai pasaran keseluruhannya mencecah AS$1.4 juta (RM5.9 juta).
Qiang Lin ditahan selepas haiwan tersebut berjaya dikesan pihak berkuasa semasa pemeriksaan di sempadan.
Kedua-dua spesies itu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam Punah (CITES), yang hanya membenarkan perdagangan dengan permit eksport atau sijil pengeksportan semula.
Eastern box turtle juga diklasifikasikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Selain kura-kura, Qiang Lin turut mengeksport 11 bungkusan lain yang mengandungi reptilia termasuk ular berbisa, menurut Jabatan Kehakiman.
Qiang Lin dijadualkan dijatuhi hukuman pada 23 Disember dan berdepan sehingga lima tahun penjara.
Pada Mac lalu, seorang lagi warga China dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana menyeludup lebih 2,000 ekor eastern box turtle, yang juga dibungkus dalam sarung kaki dan dimasukkan ke dalam kotak berlabel badam serta biskut coklat.
Pihak berkuasa ketika itu menganggarkan setiap ekor kura-kura boleh dijual sehingga AS$2,000 (RM8,445).
































