M Kumar
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seramai 124 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah menjalani proses intervensi bagi memulihkan semula keyakinan mereka susulan kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, selain daripada siasatan, pihak polis mengambil pendekatan proaktif membabitkan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ menjalankan intervensi kepada pelajar sekolah terbabit.
“Seramai 124 pelajar yang kita kesan mengalami trauma akibat insiden ini menjalani proses intervensi.
“Intervensi ini adalah satu proses digunakan elemen psikiatri dan sebagainya untuk memulihkan keyakinan supaya tahap keyakinan kembali dan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 82 keterangan saksi sudah dirakam, termasuk daripada pelajar sekolah berkenaan.
“Antara mereka, ada yang kita panggil semula untuk diambil keterangan tambahan bagi membantu siasatan elemen buli ini,” katanya.
































