Gambar Hiasan
BEIJING: Kerajaan China mengumumkan penggantungan sementara tarif ke atas beberapa barangan import dari Amerika Syarikat (AS) selama 90 hari, dalam usaha meredakan ketegangan perdagangan yang telah berlarutan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Perdagangan China dalam kenyataan rasmi memaklumkan, langkah ini berkuat kuasa serta-merta dan bertujuan membuka ruang kepada rundingan lanjutan dengan Washington, khususnya dalam isu-isu perdagangan yang tertangguh sejak perang tarif meletus pada 2018.
Penggantungan tarif ini melibatkan pelbagai kategori barangan, termasuk produk pertanian, peralatan perubatandan komponen teknologi terpilih.
Semua barangan tersebut sebelum ini dikenakan tarif balas oleh Beijing sebagai reaksi terhadap dasar perdagangan agresif pentadbiran AS terdahulu.
Langkah ini dilihat sebagai isyarat goodwillmenjelang rundingan perdagangan dua hala yang dijadualkan bulan depan. Beijing menegaskan bahawa penggantungan ini bersifat sementara dan akan dikaji semula berdasarkan kemajuan dalam perbincangan.
Jurucakap kementerian menyatakan keputusan itu dibuat demi kepentingan kestabilan rantaian bekalan global serta kesejahteraan pengguna domestik.
Penganalisis ekonomi menyambut baik pengumuman itu, menyifatkannya sebagai langkah pragmatik yang mampu mengurangkan tekanan inflasi global dan memperbaiki hubungan dagangan yang tegang sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Perdagangan AS mengesahkan Washington bersedia meneruskan dialog yang konstruktif dan saling menguntungkan dengan China, selari dengan usaha kedua-dua negara untuk memulihkan kestabilan ekonomi serantau dan global.


































