KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai dalang kes penipuan pelaburan yang menyebabkan kerugian lebih RM2.31 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek dikenali sebagai Mohd. Ezman Zamani, 38, beralamat terakhir di Rawang, dipercayai masih berada di dalam negara.
“Sejak 2023, sebanyak 279 laporan diterima berkaitan kes ini. Mangsa menyertai pelaburan selepas mengikuti webinar yang dianjurkan syarikat terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, siasatan mendapati syarikat itu menawarkan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan.
Pada peringkat awal, pelabur menerima keuntungan seperti dijanjikan, namun pembayaran terhenti selepas pelbagai alasan diberikan.
“Individu ini dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Mohd. Fikri Najib Ismail di talian 013-9839854 atau Inspektor Noor Azamin Noor Azahari di talian 011-65580848.
































