Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara yang telah mengeluarkan arahan lanjut berhubung siasatan kes kematian adik Zara Qairina.
Beliau berkata, kes tersebut bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat Sabah, malah turut mendapat perhatian meluas di seluruh negara termasuk dari negara jiran.
“Ini jelas menunjukkan bahawa keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.
Hajiji berkata, pihaknya meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan buat Zara serta keluarganya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, selain memberi ruang dan kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berlangsung.


































