LOS ANGELES: Kebakaran belukar di kawasan pergunungan utara Los Angeles mencetuskan pemindahan di dua daerah Amerika Syarikat (AS) dan membakar hampir 2,000 hektar, menurut pihak berkuasa semalam.
Menurut Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya 10 zon di daerah Los Angeles dan Ventura berada di bawah arahan pemindahan, melibatkan sekitar 2,700 penduduk setakat Khamis, kata jurucakap Jabatan Bomba Daerah Ventura, Andrew Dowd, kepada AFP.
Kira-kira 400 anggota dikerahkan untuk mengawal kebakaran itu, katanya.
Kebakaran itu tercetus ketika pasukan bomba sedang memadamkan satu lagi kebakaran hutan, terbesar di California setakat tahun ini, yang marak selama lapan hari berturut-turut dan membakar lebih 40,000 hektar di Hutan Nasional Los Angeles, mengancam ratusan rumah.
Kebakaran terbaharu setakat ini memusnahkan 1,965 hektar dan masih belum dapat dikawal, kata Dowd.
Penyelia Daerah LA, Kathryn Barger, yang mewakili kawasan tersebut, menggesa penduduk agar mematuhi garis panduan pemindahan.
“Jika anda berada di Santa Clarita, Hasley Canyon atau Val Verde, ambil serius arahan pemindahan, apabila pasukan penyelamat minta berpindah. Sentiasa peka dan jangan pertaruhkan nyawa,” katanya.
Kebakaran berlaku susulan insiden pada Julai lalu yang memusnahkan lebih 28,300 hektar dan memerlukan ratusan anggota bomba untuk mengawalnya.
Pihak berkuasa bomba ketika itu memaklumkan semak kering, angin berterusan dan suhu tinggi menjadi punca api marak.
Awal minggu ini, syarikat insurans gergasi berpangkalan di Zurich, Swiss Re, memaklumkan bencana alam menyebabkan kerugian ekonomi berjumlah AS$135 bilion (RM572 bilion) di seluruh dunia pada separuh pertama tahun 2025, didorong oleh kebakaran hutan di Los Angeles.
































