KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengusir 21 warga asing selepas cubaan masuk dan keluar negara ini secara tidak sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) dekat sini, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, dalam operasi itu, kesemua mereka dihantar pulang manakala seorang ditahan untuk siasatan lanjut berhubung pemalsuan dokumen perjalanan.
AKPS dalam kenyataan berkata, tiga modus operandi berbeza dikesan digunakan kesemua warga asing dalam kes ini.
“Cubaan pertama membabitkan enam warga Kemboja, termasuk seorang dipercayai pembawa (carrier) yang mendakwa datang untuk mendapatkan suaka politik.
“Kesemua mereka saling tidak mengenali dan siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen sokongan permohonan suaka seperti yang ditetapkan,” katanya.
Tiga warga Indonesia pula dikesan menyalahgunakan kemudahan Single Entry Visa selama 90 hari dan dikenakan tindakan pengusiran.
“Mereka gagal mengemukakan justifikasi kukuh mengenai tujuan kemasukan, tidak mempunyai bukti tempahan penginapan dan tidak memiliki tiket penerbangan pulang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki cuba memasuki negara ini untuk bekerja secara tidak sah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang warga China pula ditahan selepas dikesan menggunakan pasport yang mempunyai endorsmen mencurigakan dari Disember 2024 hingga Ogos 2025.
“Melalui siasatan awal, individu terbabit dipercayai memperoleh cap keluar-masuk secara tidak sah menggunakan kaedah ‘flying’ (pasport terbang) dan menyalahgunakan dokumen perjalanan.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan pemalsuan dokumen dan percubaan keluar tanpa prosedur sah,” katanya.
Kata AKPS, tujuh warga India dan lima warga Pakistan turut dihalang selepas cuba melepasi kaunter pemeriksaan imigresen tanpa pemeriksaan sah.
“Mereka dipercayai cuba meloloskan diri dengan menyusup bersama penumpang lain.
“Kesemua yang diusir dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan akan dihantar pulang ke negara asal mengikut penerbangan terawal,” katanya.
































