ASHCROFT: Anggota bomba percaya seekor ikan hangus yang ditemukan di lokasi kebakaran besar di barat Kanada pada 30 Julai lalu menjadi punca kejadian, selepas dipercayai terjatuh dari cengkaman seekor burung ke atas kabel elektrik dan mencetuskan api.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Bomba Ashcroft memaklumkan, kebakaran itu berlaku kira-kira enam kilometer (km) di selatan bandar berkenaan, dengan sungai terdekat terletak tiga kilometer dari lokasi kebakaran.
Insiden pelik itu dipercayai tercetus apabila ikan yang dibawa seekor burung jatuh ketika ia sedang terbang, sekali gus menyebabkan percikan api dan merebak menjadi kebakaran.
“Hasil siasatan awal mendedahkan punca kebakaran ini, iaitu daripada seekor ikan,” kata jabatan itu dalam hantaran di Facebook.
Jabatan itu berkata, percikan api daripada kabel elektrik yang terjejas membakar rumput kering di bawahnya, sambil mengesyaki burung berkenaan mungkin melepaskan ikan kerana keletihan akibat cuaca panas melampau.
“Atau satu lagi kemungkinan, mungkin ia sudah bosan makan ikan mentah dan mahu mencuba yang dimasak,” seloroh jabatan tersebut.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan tanpa insiden lanjut.
































