WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang mengenakan tambahan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari India, sebagai tindak balas terhadap pembelian minyak Russia oleh negara Asia Selatan itu.
Menurut Utusan Malaysia, langkah tersebut menjadikan jumlah tarif ke atas barangan India yang masuk ke pasaran AS mencecah 50 peratus, antara kadar tertinggi pernah dikenakan oleh AS terhadap mana-mana negara.
Menurut perintah eksekutif berkenaan, tarif baharu itu akan mula berkuat kuasa dalam tempoh 21 hari, iaitu pada 27 Ogos 2025.
Kementerian Luar India dalam kenyataan ringkas berkata, New Delhi sudah pun menyatakan pendiriannya dengan jelas mengenai import dari Russia dan menyifatkan tarif tambahan itu sebagai ‘tidak adil, tidak wajar dan tidak berasas’.
“Adalah amat dikesalkan apabila AS memilih untuk mengenakan tarif tambahan terhadap India atas tindakan yang turut diambil oleh beberapa negara lain demi kepentingan negara masing-masing,” kata kenyataan itu.
India juga menegaskan pihaknya akan mengambil segala langkah perlu untuk melindungi kepentingan negara.
Trump sebelum ini memberi amaran beliau akan menaikkan cukai import terhadap India, mendakwa negara itu tidak mempedulikan berapa ramai rakyat Ukraine yang dibunuh oleh jentera perang Russia.
Pada Rabu, Rumah Putih mengeluarkan kenyataan tindakan Russia di Ukraine terus menjadi ancaman terhadap keselamatan negara dan dasar luar AS, justeru memerlukan pendekatan lebih tegas bagi menangani darurat nasional yang berterusan.
Kenyataan itu turut menegaskan pembelian minyak Russia oleh India melemahkan usaha AS untuk mengekang aktiviti Moscow di Ukraine.
Minyak dan gas merupakan eksport terbesar Russia, dengan pelanggan utama termasuk China, India dan Turkiye.
Menurut data platform komoditi global Kpler, Russia kini merupakan penjual minyak terbesar kepada India, menyumbang lebih 35 peratus daripada keseluruhan bekalan minyak negara itu.


































