ROM: Kerajaan Itali dijangka memberikan kelulusan akhir bagi projek pembinaan jambatan gantung terpanjang di dunia bernilai 13.5 bilion euro (RM77.5 bilion), yang akan menghubungkan pulau Sicily dengan tanah besar Itali merentasi Selat Messina.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Infrastruktur, Matteo Salvini berkata, satu jawatankuasa menteri akan menyokong projek mega yang dibiayai kerajaan itu, sambil menyifatkannya sebagai satu detik bersejarah selepas lebih setengah abad perancangan.
Jambatan tersebut direka bentuk dengan dua laluan kereta api di bahagian tengah dan tiga lorong trafik di kedua-dua arah, dengan rentangan tergantung sejauh 3.3 kilometer menjadikannya jambatan gantung terpanjang di dunia yang akan disokong oleh dua menara setinggi 400 meter.
Projek itu dijadualkan siap pada tahun 2032 dan menurut kerajaan, ia merupakan kemuncak kejuruteraan moden yang mampu menahan angin kencang dan gempa bumi, memandangkan kawasan itu terletak di antara dua plat tektonik utama.
Para menteri berharap pembinaan jambatan itu akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di dua wilayah termiskin Itali iaitu Sicily dan Calabria dengan Salvini menjanjikan penciptaan puluhan ribu pekerjaan hasil daripada projek tersebut.
Bagaimanapun, projek berkenaan mencetuskan bantahan penduduk tempatan berhubung kesan alam sekitar dan kos yang dianggap terlalu tinggi, serta boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih mendesak.
Segelintir pengkritik juga meragui projek itu akan menjadi kenyataan, merujuk kepada sejarah panjang projek infrastruktur di Itali yang sering diumumkan dan dibiayai tetapi gagal disiapkan.
Untuk rekod, rancangan pembinaan jambatan ini telah beberapa kali dibangkitkan sejak lebih 50 tahun lalu.
Konsortium Eurolink yang diketuai syarikat Itali, Webuild, memenangi tender projek tersebut pada tahun 2006, namun ia dibatalkan selepas krisis hutang zon Euro dan konsortium sama kini dikekalkan sebagai kontraktor utama untuk pelaksanaan semula projek itu.
Kali ini, kerajaan Itali mempunyai insentif tambahan untuk meneruskan projek berkenaan dengan mengklasifikasikan kosnya sebagai perbelanjaan pertahanan.
Itali yang dibebani hutang bersetuju bersama negara-negara anggota NATO lain untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), seperti yang dituntut oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1.5 peratus boleh dibelanjakan untuk bidang berkaitan pertahanan seperti keselamatan siber dan infrastruktur. Rom berharap jambatan Messina akan memenuhi kriteria tersebut memandangkan Sicily turut menempatkan sebuah pangkalan NATO.


































