TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran khas hujan lebat bagi wilayah selatan Kagoshima pada Jumaat, sambil memberi peringatan tegas nyawa penduduk berada dalam bahaya jika pemindahan segera tidak dilakukan.
Menurut Utusan Malaysia, hujan luar biasa ini berlaku selepas Jepun mengalami tempoh panas terik yang melampau, termasuk suhu tertinggi baharu negara yang direkodkan pada 41.8 darjah Celsius.
“Kagoshima kini mengalami hujan lebat luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Nyawa penduduk dikhuatiri terancam dan keadaan berbahaya dilaporkan berlaku di beberapa kawasan terjejas.
“Justeru, kami menggesa penduduk agar segera berpindah mencari perlindungan di bangunan yang terletak jauh dari sungai dan tebing curam atau di bangunan yang kurang berisiko dilanda banjir,” kata pegawai JMA dalam sidang media.
JMA turut menasihatkan penduduk agar tidak menunggu arahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan sebaliknya segera berpindah ke kawasan lebih selamat.
Seorang pegawai daripada kementerian tanah turut memberi amaran tentang risiko sungai melimpah dan banjir besar yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Menurut agensi berita Kyodo News, satu kawasan di Kagoshima merekodkan lebih 490 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam hingga pukul 4:40 pagi Jumaat (waktu tempatan) menjadikannya rekod tertinggi bagi wilayah itu.
Berikutan amaran khas daripada JMA, tahap tertinggi dalam sistem lima peringkat dikeluarkan pihak berkuasa bandar Kirishima.
“Paras air sungai semakin naik, dengan risiko banjir yang tinggi, atau banjir mungkin sudah pun berlaku di luar benteng,” menurut kenyataan laman web bandar Kirishima.
Akibat keadaan cuaca yang melampau, beberapa penerbangan domestik di Lapangan Terbang Kagoshima turut dibatalkan, lapor media tempatan.


































