MAHON: Seorang remaja lelaki warga Britain berusia 15 tahun tersalah menaiki pesawat ke Milan, Itali tanpa tiket selepas terpisah daripada keluarganya di Lapangan Terbang Mahon, Menorca, Sepanyol, pada Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, remaja tersebut sepatutnya menaiki penerbangan syarikat TUI dari Menorca ke Lapangan Terbang Stansted, London, namun gagal dikesan selepas dilaporkan hilang di kawasan berlepas lapangan terbang berkenaan.
Kehilangannya mencetuskan panik kepada ibu bapa yang segera memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan sebelum polis mengaktifkan sistem amaran kanak-kanak hilang.
Jurucakap Polis Kebangsaan Sepanyol di Mallorca berkata, siasatan segera menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati remaja berkenaan menaiki pesawat menuju ke Lapangan Terbang Milan Malpensa, Itali tanpa tiket penerbangan.
“Pihak lapangan terbang telah mengaktifkan sistem amaran kanak-kanak hilang, namun ia kemudiannya dinyahaktif setelah disahkan remaja itu berada dalam penerbangan ke Milan,” katanya.
Sementara itu, laporan media tempatan menyebut, kru penerbangan syarikat EasyJet hanya menyedari kehadiran penumpang tanpa tiket itu ketika pesawat sedang berada di atas udara menuju ke Milan.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya kini menjalankan siasatan bersama pengendali darat di Lapangan Terbang Mahon bagi mengenal pasti bagaimana remaja berkenaan boleh terlepas pemeriksaan keselamatan dan menaiki pesawat tanpa pengawasan.
“Sebaik tiba di Milan, penumpang tersebut disambut kakitangan kami bersama pihak berkuasa tempatan dan telah diaturkan pertemuan semula dengan ahli keluarganya pada hari sama.
“Kami juga terus berhubung dengan keluarga remaja itu bagi menawarkan bantuan dan sokongan lanjut,” kata jurucakap EasyJet.
Difahamkan, ibu kepada remaja tersebut telah terbang ke Milan dan berjaya menemui semula anaknya pada hari yang sama insiden berlaku. Identiti keluarga itu tidak didedahkan.
































