Polis sedang mengesan seorang lelaki, R. Puvarasan yang dipercayai melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Temiang berhampiran simpang Bukit Jong, di Seremban pagi kelmarin. – Ihsan/PDRM
SEREMBAN: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai telah melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Temiang berhampiran simpang Bukit Jong, di sini, pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, suspek, R-Puvarasan, 28, beralamat di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor dipercayai telah melarikan diri serta meninggalkan kereta yang dipandu selepas melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Honda RS dengan sebuah kereta jenis Mercedes Benz.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal dari arah Temiang menghala ke Seremban manakala pemandu kereta dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian pemandu kereta hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan terus melanggar penunggang motosikal secara berdepan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja telah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita kelmarin
Ujar Mohamad Hatta lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor G. Sankar di nombor 014-6000353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

































