KLANG: Seorang ibu dan anak perempuannya berusia tiga tahun ditemukan terapung dekat laut berhampiran Jeti Pulau Ketam, di sini, pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, wanita berusia 41 tahun itu ditemukan bersama sebuah beg berisi dokumen pengenalan kedua-dua mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa ternampak seorang kanak-kanak terapung di hadapan jeti berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi.
Menurutnya, pengadu bersama beberapa orang awam lain menyelamatkan kanak-kanak tersebut dan membawanya naik ke jeti sebelum disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Pulau Ketam.
“Pada masa sama, kelihatan seorang perempuan dewasa terapung di kawasan berdekatan jeti. Selepas mangsa dibawa naik, dia turut disahkan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan di kawasan berdekatan jeti menemukan sebuah beg berisi dokumen kedua-dua mangsa. Mangsa merupakan seorang ibu bersama anak perempuannya,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Jelas Kamalariffin, pemeriksaan oleh Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati tiada sebarang kecederaan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dan polis membuka satu kertas siasatan kematian mengejut (SDR) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya lagi, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian supaya hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.


































