Masiung Banah
TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berpandangan cadangan untuk mewujudkan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) perlu diteliti secara mendalam agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Menurutnya, GRS dan PH Sabah telah menjalin kerjasama erat dalam pentadbiran kerajaan negeri dan persefahaman itu telah pun terbukti berkesan.
“Jika cadangan untuk menggabungkan ketiga-tiga parti ini diteruskan, kami kekal berpegang pada kenyataan Perdana Menteri di Tawau pada 11 Mei lalu bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan mengetuai rundingan pembahagian kerusi,” katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Anwar dalam pertemuan bersama pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di Kota Kinabalu menyatakan kesediaan untuk merintis rundingan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru antara GRS, PH dan BN dalam PRN akan datang.
Masiung berkata, Gagasan Rakyat selaku parti utama dalam GRS berpendapat bahawa kerjasama politik yang telah terjalin antara GRS dan PH sudah cukup mantap dan sebaiknya dikekalkan.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah politik antara GRS dan BN sebelum ini pernah melalui ujian, dan sebarang langkah untuk bekerjasama semula perlu mengambil kira kepercayaan yang telah terjejas.
“Sejak insiden ‘Langkah Kinabalu’, beberapa tindakan dan kenyataan daripada pimpinan tertentu telah menjejaskan hubungan antara kedua-dua pihak. Malah, BN Sabah sendiri pernah menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan GRS,” katanya.
Justeru, beliau berharap Perdana Menteri dapat menghormati pendirian sedia ada serta memberi ruang kepada Pengerusi GRS untuk memimpin sebarang rundingan berkaitan pembahagian kerusi menjelang PRN-17.
































